Monday, May 5, 2008

Bermulanya disini


Cadangan asalnya hanyalah untuk membina laman khas bagi memaparkan perkembangan bangunan baru yang bakal dibina di SMKSMS hanya untuk memenuhi 'self-satisfaction' dan untuk mengaplikasi ilmu yang dipelajari sewaktu kursus. Malahan satu kebanggaan bagi diri saya jika saya dapat melengkapkan perjalanan sehingga terbinanya sebuah bangunan empat tingkat yang menjadi penantian kepada semua warganya. Yang pasti ia akan menuntut sebahagian masa dan tumpuan kerana jika saya terleka pasti ada saat-saat penting yang terlepas dari pandangan.
Bangunan yang bakal terbina ini akan mengorbankan tiga gelanggang permainan iaitu gelanggang tennis, gelanggang bola keranjang dan gelanggang bola tampar. Idea ini terhasil dari menonton rancangan 'Mega Structures' di rangkaian National Geographic. Salah satu rancangan kegemaran anak sulung saya yang begitu asyik mengikuti perkembangan pelbagai binaan hebat buatan manusia di dunia ini.Keupayaan menghasilkan dokumentari hebat itu menjadi titik bermulanya projek ini. Saya berazam untuk merakam setiap detik dan perkembangan yang ada bermula dari zero. Alangkah ruginya jika setiap hari yang berlalu hanya disorot dengan pandangan kosong dan tiada usaha untuk merakam detik itu.
Yang pasti perjalanannya panjang dan akan memakan masa bertahun untuk dilengkapkan. Semoga usia dan jodoh perkhidmatan saya di SMK Sultan Mansor Shah akan panjang sehingga saya mampu menulis dan memasukkan rentetan peristiwa ini selengkapnya.
Semoga kita menghargai setiap detik waktu yang berlalu ...wassalam.

No comments: